Semua orang mengharapkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat tetapi tidak semua yang diharapkan itu dimakbulkan. Mereka beranggapan bahawa kebahagiaan di dunia ialah apabila dilimpahi kemewahan. Dengan kekayaan mereka mampu memiliki apa sahaja yang dihajati. Tanggapan salah ini perlu diperbetulkan.
Rasulullah s.a.w mengingatkan, jika umatnya inginkan kebahagiaan hidup didunia dan di akhirat, mereka hendaklah mengamalkan empat perkara yang akan menjadi kunci kebahagiaan.
At-Tabrani daripada Ibnu Abbas mencatatkan, Rasulullah s.a.w berkata, "Ada empat perkara dan sesiapa yang diberikan empat perkara itu sesungguhnya telah diberikan kebaikan di dunia dan akhirat.Empat perkara itu ialah lidah yang sentiasa berzikir, hati yang sentiasa bersyukur, hati yang sabar ketika ditimpa musibah dan isteri yang solehah, tidak berlaku curang kepada suami malah sentiasa menjaga diri dan harta suami."
Ternyata pesanan Rasulullah s.a.w itu tidak memerlukan wang ringgit untuk melaksanakannya. Ia adalah satu perbuatan yang mudah dilakukan tetapi sukar bagi mereka yang tidak yakin dengan kebesaran ALLAH.
Berapa ramaikah di antara kita yang akan mengucapkan Bismillahi Rahmanir Rahim(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang) sebelum melakukan sesuatu? Mungkin mereka hanya mengucapkan kalimah itu apabila hendak makan atau minum, memulakan perjalanan atau keluar rumah tetapi bagaimana dengan pekerjaan yang lain?
Apa sahaja perkara kebaikan yang hendak dilakukan, wajib dimulakan dengan Bismillah kerana ia adalah satu cara mengingati Allah (berzikir). Amalan ini amat mudah tetapi kita selalu lalai menyebabkan kita sukar mendapat keberkatan dalam apa jua yang dilakukan.
Jika kita menjadikan zikir sebagai amalan, sekurang-kurangnya kita sudah melakukan satu daripada empat perkara yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah selesai melakukan sesuatu pekerjaan dengan jayanya, berapa ramaikah pula di antara kita yang mengucapkan 'Alhamdulillah? (Segala pujian bagi ALLAH). Ini juga satu cara mengingati ALLAH tetapi jarang yang mahu mengucapkannya apabila meraikan kejayaan atau nikmat kesenangan.
sebaliknya apabila ditimpa musibah atau kecelakaan, kita selalu mengeluh, putus asa, tidak boleh bersabar dan menyalahkan takdir. Dalam keadaan begitu, kita jarang sekali mahu menyebut Inna Iillahi Wa inna ilaihi rajiun yang membawa maksud, Sesungguhnya kami kepunyaan ALLAH dan kepadanya kami akan dikembalikan.
Berapa ramaikah pula di antara kita sanggup bersabar dan menerima musibah dengan hati yang lapang? Memperteguhkan iman dan bersabar akan memberikan semangat supaya kita tidak terus menyalahkan takdir sebaliknya redha dengan ketentuan-Nya.
Sentiasalah berzikir kepada ALLAH yang tidak terikat dengan waktu-waktu tertentu, malah ia boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa jika ada kelapangan.
Di antara sebutan yang dituntut untuk dilafazkan sebagai tanda mengingati ALLAH ialah seperti Subhanallah, Allahuakbar, Lahaula qauwata illa billah, Alhamdulillah. Lafaz ini boleh diucapkan pada bila-bila masa sahaja dan semua itu terpulanglah sama ada mahu melakukannya atau tidak.
kepada kaum wanita yang solehah, haruslah sentiasa taat kepada perintah suami selagi tidak melanggar batas syariat agama di samping sentiasa menjaga diri dan harta suami ketika ketiadaannya di rumah.
Rasulullah s.a.w seterusnya berpesan, "Apabila seorang wanita mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara maruah dan taat kepada suami atau walinya jika belum berumah tangga, nescaya akan masuk syurga."
Mengamalkan empat perkara seperti yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya bukanlah satu bebanan untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Tidak dinafikan kehidupan mereka yang sentiasa berantakan disebabkan jarang mahu mengingati Allah dalam apa jua keadaan menyebabkan Allah berasa jauh daripada mereka.
Oleh yang demikian, jika kita mahukan kehidupan rumah tangga atau sesebuah keluarga itu mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat, sentiasalah amalkan apa yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w Selain memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat, secara tidak langsung akan mempertingkatkan amal ibadat seharian.
Hati yang tenang dan bahagia adalah hati yang selalu mengingati Allah sama ada ketika senang mahupun susah.Tiada apa yang lebih penting bagi seseorang hamba yang selalu mendekatkan diri kepada Tuhannya selain redha, kasih dan ihsan daripada Tuhannya itu. Apa saja yang dilakukan pasti akan dikaitkan dengan Kekasih agungnya itu. Bukan keseronokan dan kesenangan dunia yang dicari sebaliknya kebahagiaan dan kesenangan di akhirat kelak.
Hari-hari yang dilalui sarat dengan amal ibadat bermula dari solat Qiamullail, solat subuh, dhuha, kemudian diikuti solat-solat wajib yang lain, iaitu Zuhur, Asar, Maghrib dan isha'. Juga, diselitkan pula zikir-zikir yang disyariatkan. Alangkah bahagia hati yang sering mengingatinya..... ='D
No comments:
Post a Comment
komen lah kalau tak keberatan ya :')